Jika anda masih baru disini, sila masukkan email anda utk dapatkan update-update terkini melalui email dan melanggan kelakargila:

Pencekik Darah


Kilauan petir sekali-sekala menerangi suasana kampung Coh Ulu itu. Awan tebal berkepul-kepul berarak-arakan di langit menutup segala cahaya di langit, menambahkan lagi kegelapan malam itu. Angin kencang menderu-deru menambahkan kebimbangan penduduk kampung. Tidak ada seorangpun penduduk yang masih berada di luar rumah. Kesemua mereka sudahpun berada di dalam rumah, berlindung daripada ancaman ribut yang akan melanda. Hanya sekali-sekala sinaran pelita berkelip-kelip menembusi celah-celah papan dinding rumah melintuk dikuis angin. Seluruh kampung Coh Ulu sunyi sepi bagaikan dilanda geroda.

Dalam kegelapan malam itu bunyi enjin kereta pacuan empat roda meraung membelah kesunyian malam itu. Bagaimanapun tiada siapa yang keluar menjenguk, masing-masing sibuk dengan hal masing-masing ataupun ....? Sebuah kereta jeep kelihatan terhuyung-hayang merendah kegelapan malam, lampu hadapannya menyinari jalan berlopak dengan cahaya lesu yang suram. Ia merentas kampung itu sebelum berhenti di hadapan sebuah rumah yang serdahana besar. Seorang pemuda yang kelihatannya dalam lewat empatpuluhan melompat keluar sambil memegang sebuah lampu suluh berkuasa tinggi dan satu beg galas. Dia merenung ke langit dengan muka yang berkerut sebelum menguncikan keretanya.

Setelah itu dia berjalan ke tangga rumah dengan berhati-hati dengan bantuan cahaya lampunya. Selepas menanggalkan kasut di tangga, dia menjinjing kasutnya dan melangkah menaiki tangga sehingga ke muka pintu. Dengan suara yang kuat dia memanggil "Ada sesiapa di dalam?", agar suaranya dapat didengari, mengatasi bunyi guruh yang sambung-menyambung itu. Sebaik sahaja dia memanggil, terdengar bunyi lantai berkiut dipijak seseorang, tetapi pintu masih belum terbuka. "Pak Astoroth, Ooo Pak Astoroth. Saya ini. Kamat." Dia memanggil sekali lagi dengan suara yang lebih keras sedikit, barulah ada bunyi suara orang menjawab kedengaran.

"Oh engkau Kamat.", bunyi suara orang menjawap. Serentak dengan itu pintu depan dibuka dan seorang lelaki yang separuh umur menjengukkan kepalanya keluar dan segera menjemputnya masuk. Sebaik sahaja dia masuk, dengan segera pintu ditutup dangan cepat dan dikunci. Kamat mengerutkan mukanya sambil meletakkan kasutnya yang lecak ke tepi pintu. Bau kemenyan dibakar tajam mencucuk-cucuk hidungnya."Kenapa ini Pak Astoroth? Panggil saya pulang tergesa-gesa begini? Macam orang takut sahaja? Ada berita baik ke?"

Pak Astoroth hanya tersengih-sengih "Tidak ada apa-apa, tidak ada apa-apa. Nantilah aku beritahu . Duduklah dahulu. Engkau akan lama berada di sini?"

Kamat tersengih sebelum duduk bersila di tempat yang ditunjukkan. "Saya perlu balik segera ke bandar nanti. Ada urusan yang belum selesai. Bagaimana Pak Astoroth? Dapat ke barang yang saya minta itu? Kalau betul, saya akan berikan berapa sahaja Pak Astoroth mahu."

"Bagus-bagus", jawab orang tua itu sambil terbatuk-batuk kecil. Dia mencapai dian di tengah bilik lalu masuk ke dalam suatu bilik kecil yang tertutup rapi. "Payah juga aku mendapatkannya. Tetapi sekarang aku sudah dapat...." ujarnya. Kamat terpaksa menurut sahaja kerana hanya cahaya dian itu menjadi penerang rumah itu. Dia memasuki bilik kecil itu dengan hati yang berdebar-debar. Impiannya akan terlaksana. Akan puaslah hatinya apabila apa yang diimpikan olehnya tercapai nanti.

Orang tua itu duduk bersila di tepi dinding bilik mengadap satu bungkusan kain hitam yang terletak di dalam talam di tengah-tengah bilik. Kamat terpaku, matanya tertumpu kepada bungkusan itu. "Itulah yang engkau inginkan." suara garau lelaki tua itu memecahkan angan-angannya. Kamat tersentak. "Aku mahukan dua puluh ribu untuknya." Kamat pura-pura tersentak, "Apa, Pak Astoroth gilakah meminta wang sebanyak itu daripada saya." dia bertanya.

Pak Astoroth hanya tersenyum, "Aku sendiri yang memotongnya untuk engkau. Aku sendiri yang memujanya selama sebulan ini untuk engkau. Sekarang sudah patut engkau membayar aku wang sebanyak itu. Atau engkau mahu melakukannya sendiri?"

"Bagaimana saya tahu ia benar-benar berhasil. Bagaimana jikalau Pak Astoroth membohongi saya." tanya Kamat ragu-ragu.

"Jangan bimbang. Apa yang engkau inginkan sudah berada di hadapan kamu. Tidak mungkin aku membohongi kamu." kata orang tua itu sambil menambah kemenyan ke dalam dupa di hadapannya.

"Baiklah" kata Kamat, nekad. "Ajarkanlah saya kuncinya, dan saya akan berikan wang sebanyak yang Pak Astoroth minta."

Orang tua itu tersenyum girang. Segera dia membuka bungkusan kain hitam itu. Bau busuk menerpa ke hidung Kamat, tetapi dia tidak menghiraukannya. Matanya terpaku kepada benda yang terletak di dalam talam itu. Berderau darah ke mukanya apabila dia menyedari benda itu. "Apa ini! Pak Astoroth!" pekiknya.

Orang tua itu hanya tertawa. "Yang engkau mahukan... pastinya engkau dapat. Sekarang sudah terlewat untuk engkau berundur. Duduklah! Akan aku ajarkan cara menyerunya."

Kamat terduduk lemah. Benda yang kecut di dalam talam itu mengejutkannya. Dia tertunduk lemah. Orang tua itu tidak menghiraukan keadaan Kamat. Dia terus mengajar petua-petuanya. Tidak lama kemudian barulah Kamat dapat mulai membetulkan tubuhnya dan mula menghafal ayat-ayat yang diajari itu.

Sebentar kemudian orang tua itu membungkuskan semula bungkusan kain di dalam talam itu. "Sekarang ia akan turut pada perintah kamu." katanya. "Mana wang aku. Jangan cuba menipu aku. Katanya keras. "Rumah ini sudah aku pagarkan, dan tidak mungkin apa-apa dapat menembusinya. Haa... Haa... Haa..."

Kamat membuka beg galasnya dengan longai. Dia mengeluarkan beberapa berkas wang tunai dan menghulurkannya kepada orang tua itu yang tertawa kegirangan. Kamat terus mencapai bungkusan itu dan keluar tanpa menghiraukan orang tua itu yang terpinga-pinga apabila diberikan wang yang lebih daripada yang dimintanya. Tetapi hanya seketika. Bunyi ketawa memecah keheningan malam. Kamat tidak mempedulikannya. Dia terus menerpa keluar ke keretanya tanpa menghiraukan air hujan yang jatuh menimpa tubuhnya.

Di dalam kereta, dia terduduk lesu. Sejenak itu, dia mengeluarkan bungkusan kain hitam itu dan meletakkannya berhati-hati ke tempat duduk di sebelahnya. Dia membuka bungkusan itu dan mula mengamalkan petua yang dipelajarinya dengan berhati-hati. Dia tidak mahu tersilap, kerana jika tersilap nahas jadinya.

Sementara itu orang tua itu segera menguncikan pintu rumahnya. Duit yang berkepal itu di pegangnya dengan girang. "Haa... Haa.. Haa.." Dia merasa begitu gembira. Dia akan pindah besok agar tidak ada sesiapa pun dapat mencarinya walaupun Kamat. Terutamanya Kamat. Siapa tahu kalau-kalau....

Tidak beberapa lama dia mendengar suara orang memanggilnya, sayup-sayup di sebalik bunyi guruh. Berhati-hati dia membuka pintu rumahnya. Dia dapat melihat Kamat duduk mencangkung di tepi roda keretanya. "Tolong saya Pak Astoroth. Kereta saya pancit. Bolehkah Pak Astoroth tolong pegang lampu suluh ini sementara saya tukarkannya."

Dia teragak-agak. Air muka Kamat berubah seolah-olah bimbang. "Saya akan berikan Pak Astoroth wang jika Pak Astoroth bantu saya."

Hati orang tua itu berbelah-bagi. Wangnya sudah banyak tetapi .... sedikit lagi.... hanya dengan memegang lampu suluh. Pemuda itu begitu pemurah ,memberikannya wang lebih daripada yang dimintanya tadi. Sekarang, sekiranya dia membantu......

"Baiklah", katanya sambil melangkah turun. Kamat menghulurkan lampu suluh itu kepada orang tua itu sambil berjalan ke belakang kereta untuk mengambil roda pengganti. Pak Astoroth menyuluh roda kereta Kamat. Dia tidak nampak apa-apa yang silap dengan roda itu. "Kamat, betulkah engkau ini. Roda ini baik sahaja aku lihat." katanya sambil menyuluh ke arah roda itu.

Satu bayangan melintas di atas kepalanya lalu hinggap ke atas pokok durian yang berhampiran. Secara tiba-tiba sahaja bulu romanya berasa tegak. Segera dia menyuluh sekitar kawasan itu. "Kamat, Kamat, di mana engkau. Jangan engkau bergurau dengan aku. Nanti engkau menyesal."

"Percayalah Pak Astoroth, saya tidak akan menyesal" suara Kamat keras menerjah ke lubang telinganya. "Kampung ini adalah kampung asal saya. Pak Astoroth mungkin tidak tahu kerana Pak Astoroth baru berpindah ke sini."

Orang tua itu terpinga-pinga. Memang benar dia baru berpindah ke kampung itu setahun lalu. Tetapi sememangnya dia selalu berpindah-randah kerana tidak mahu orang mengetahui tentang pekerjaannya itu. "Jadi, kenapa dengan itu." tanyanya garang. "Engkau jangan lupa aku ada pendindingnya." tambahnya lagi.

Kamat tertawa berdekah-dekah. "Benar. Pak Astoroth memagar rumah Pak Astoroth. Tetapi sekarang Pak Astoroth bukan berada di dalam rumah.... Pak Astoroth berada bersama saya di tanah."

Orang tua itu tersentak mendengarkannya. "Jadi sekarang engkau mahu wang engkau kembali. Begitu?" soalnya kembali.

"Oh.. tidak... tidak sama sekali. Wang itu sememangnya saya ingin berikan kepada Pak Astoroth. Sememangnya Pak Astoroth handal. Ia betul-betul berkesan." kata Kamat keras.

"Nah! ambil duit engkau ini kembali." unjuk orang tua itu ke arah Kamat. "Ambillah... Ambillah... Kalau engkau tidak mahukan duit ini kenapa engkau buat aku begini?"

Kamat melangkah dari kegelapan malam itu ke dalam pancaran lampu suluh orang tua itu. "Ini adalah kerana kepala manusia yang engkau penggal itu adalah kepala ibu kandungku, mengerti?"

"Tolonglah, aku tidak tahu hal itu. Jangan.. Jangan.." rayu orang tua itu terketar-ketar.

Kamat hanya mendiamkan dirinya. Dia hanya menganggukkan kepalanya dan seketika itu juga satu lembaga terbang dari pokok berhampiran ke arah orang tua itu sambil tertawa mengilai-hilai.

Hantu jembalang."JANGAN! JANGAN! JANGAnnnnn......" pekik orang tua itu sambil berusaha melawan lembaga yang mengomolnya. Lampu suluh yang dipegangnya itu tercampak ke arah Kamat. Dia dapat merasakan jari-jemari lembaga yang panjang itu memberkas tubuhnya sehinggakan dia tidak berdaya untuk meronta lagi. Muka lembaga itu yang hodoh disuakan hampir ke mukanya, menampakkan sepasang taring putih panjang yang berkilat. Dia terkaku, tahu akan apa yang akan berlaku sebentar lagi. Mulut lembaga itu ternganga luas.

Tiba-tiba orang tua itu seperti mendapat satu tenaga baru. Dia mulai meronta-ronta keras. "Tolong..., tolong.... Aku tidak mahu mati... Aku tidak mahu mati..." dia meraung. Bunyi petir berdetum secara tiba-tiba menenggelami suaranya itu.

Kamat berdiri diam sahaja melihatkan lembaga itu menggomol orang tua itu. Duit yang bertaburan di tanah tidak dihiraukannya. Bunyi raungan orang tua itu terus bergema dalam kegelapan malam disambut oleh bunyi petir yang berdentum-detam. Lembaga itu terus mengomol orang tua itu yang terus meraung kesakitan, tetapi Kamat hanya membiarkan ia sahaja sehinggakan sebentar kemudian raungannya beransur sepi dalam kegelapan malam itu.... Tidak lama kemudian, secara mengejut kepala orang tua itu tercabut daripada tubuhnya lalu terpelanting jauh ke udara. Setelah itu barulah lembaga itu kemudiannya terbang sambil mengilai-gilai lalu ghaib di dalam kegelapan malam itu.Kepala tercabut menitis darah.

Kamat tunduk untuk mengambil lampu suluh kepunyaannya yang terjatuh berhampiran dengan kakinya dan melangkah longlai ke dalam keretanya sebelum beredar dari situ. "Maafkan saya mak... Bukan ini yang saya inginkan." bisiknya sambil menutup bungkusan disebelahnya sambil mengesat air matanya yang mengalir deras. " Kematian mak sudah saya balas......

No comments:

Post a Comment