Jika anda masih baru disini, sila masukkan email anda utk dapatkan update-update terkini melalui email dan melanggan kelakargila:

Harb.


Pelik dan tidak benar. Itulah yang berlaku kepada seorang rakanku ketika menyertai rombongan ke kawasan tinggi beberapa tahun yang lalu. Ketika itu aku dan rakan ku telah menempah satu banglo kepunyaan syarikat untuk hari keluarga bagi unit kami. Kami ke sana dengan tiga kereta yang di pandu oleh aku dan rakanku termasuk rakanku yang di atas. Dalam perjalanan kami kesana, kami sungguh seronok ketika melalui lorong mendaki curam dan sempit itu. Pohon tua yang merimbun di sebelah kiri dan kanan jalan menambahkan lagi suasana nyaman dan damai itu. Sepanjang perjalanan kami ke sana kami, kami sungguh seronok dan tidak sabar-sabar untuk sampai ke sana.

Kami sampai ke sana pada waktu tengahari dan matahari bersinar terik itu mengurangkan rasa sejuk di kawasan tanah tinggi itu. Oleh kerana kami merupakan kereta pertama yang sampai ke sana, aku meletakkan kereta di serambi letak kereta di depan banglo itu. Aku pergi mengambil kunci daripada penjaga bunglo yang tinggal di sebuah rumah yang terletak tidak beberapa jauh di belakang bunglo itu. Setelah mendaftarkan nama dan mengambil kunci, penjaga bunglo itu bertanyakan samaada kami ingin menempah makanan. Oleh kerana kami membawa banyak makanan bersama kami, aku menolak tawaran itu.

Selepas itu aku berbual-bual dengan penjaga banglo itu dan dia berpesan agar aku berhati-hati kerana kononnya banglo itu keras sedikit. Aku hanya menganggukkan kepala tanpa berfikir panjang tentang hal itu. Aku cuma berpesan kepada penjaga banglo itu agar tidak memberitahu mereka yang lain kerana tidak mahu menakutkan rakan- rakan wanita sepejabat yang turut serta. Setelah itu aku balik dan membuka pintu banglo dan mengangkut barang-barang masuk ke dalam dengan dibantu rakan-rakan yang lain yang sudah tiba. Selepas itu aku duduk berehat bersama rakan-rakan lelaki yang lain sementara menantikan makanan disiapkan oleh rakan-rakan wanita sepejabat yang turut serta.

Rakanku yang tiba lewat sedikit daripada aku meletakkan keretanya di bawah sepohon pokok rendang yang terletak berhampiran dengan banglo itu kerana dia tidak mahu keretanya berjemur panas. Dia begitu sayang kepada keretanya dan sibuk mencuci bahagian dalam kereta sementara kami yang lain duduk berbual-bual di ruang tamu.

Banglo itu walaupun sudah tua, iaitu semenjak zaman penjajah lagi, tetapi berada dalam keadaan elok dan kemas kerana sentiasa di selenggara dengan sempurna. Banglo itu mempunyai pekarangan yang luas dan terjaga rapi. Rumputnya dipotong pendek dan di kelilingi pula oleh pohon-pohon rendang yang memberikan bayangan redup dan nyaman. Cermin tingkap yang luas membiarkan cahaya matahari masuk menerangi bahagian dalam banglo itu dan memberikan rasa luas dan selesa. Udara sejuk tanah tinggi disertai pula dengan tiupan angin sepoi-sepoi bahasa menyebabkan aku berasa selesa dan tenang.

Selepas kami makan tengahari, kami beriadah dengan mengadakan sedikit permainan sukan. Selepas itu kami balik untuk makan malam di banglo tersebut. Selepas makan malam, aku dan rakan-rakan lelaki yang lain duduk di ruang tamu di mana kami akan tidur sambil berbual-bual dan ada pula yang merokok sementara rakan-rakan wanita yang lain sudah masuk tidur di dalam bilik masing-masing. Ketika aku memandang keluar dalam kegelapan malam aku terperasan bahawa ada cahaya di bawah sepohon pokok. Aku merasa kehairanan dan cuba melihat betul-betul dan menyedari bahawa lampu dalam kereta kawanku menyala dan terdapat kelibat bayangan seseorang di dalamnya. Aku segera memanggil kawanku dan memberitahunya.

"Harb! Ada orang masuk kereta engkau."

Kami semua berebut-rebut melihat melalui tingkap.

"Jom kita pergi belasah. Mamat gian mana yang saja cari pasal tu." kata Harb, geram.

Kami segera mencapai penyapu dan apa sahaja untuk di buat senjata dan pergi beramai-ramai ke arah kereta Harb. Cuaca gelap menyebabkan kami terpaksa berjalan berhati-hati. Angin sejuk bertiup kencang dangan desiran dedaun menghasilkan satu suasana yang agak seram, tetapi kami tidak berasa takut kerana beramai-ramai. Semakin hampir, semakin jelas kelihatan satu lembaga dalam kereta itu seperti menari-nari. Aku merasa agak pelik dan berjalan perlahan sedikit agar aku kebelakang sedikit. Sampai berhampiran dengan kereta Harb, kami segera menyerbu dan mengepong kereta itu.

"Keluar! Keluar" kata Harb sambil menghayun batang penyapu secara mengancam. Kami dapat lihat lembaga seperti budak kecil yang botak yang kelihatannya terkejut kerana ia berhenti menari dan duduk diam sahaja. Harb terus cuba membuka kereta itu tetapi mendapati ia berkunci. Harb mengeluarkan kunci kereta itu tetapi sebelum sempat dia membuka pintu keretanya aku segara menarik lengannya.

"Sabar Harb. Sabar Harb. Tengok betul-betul tu. Jangan tak tentu pasal. Tenguk tu. Tenguk tu" aku menyeru kepadanya sambil menunding kearah lembaga di dalam kereta itu.

Kami semua terdiam kerana melihat satu perkara yang sungguh luar biasa. Lembaga yang kami sangkakan sebagai budak itu sedang memerhati kami dengan kepala terteleng, tetapi bukan itu yang menyebabkan kami terdiam sejenak. Yang menyebabkan kami terdiam ialah kerana matanya yang merah menyala seperti bara api dan gigi kecil tetapi tajam yang memenuhi mulutnya yang terseringa. Tiba - tiba ia mengangakan mulutnya dan berpaling ke arah kami. Apa lagi, kami semua bertaburan lari lintang pukang seperti di kejar anjing gila masuk ke dalam banglo itu.

"Hoi! Apa yang engkau orang bising-bising itu." Jerit kawan wanita kami dari dalam bilik mereka.

"Tak ada apa-apa! Tak ada apa-apa! Kami bergurau sahaja" aku menjerit balas sambil memberi isyarat agar yang lain terus diam.

"Kalau bergurau janganlah bising sangat. Kami hendak tidur ini." tambah dia lagi.

Kami diam sahaja dan masing-masing terus membaringkan diri di ruang tamu itu tanpa berbual-bual lagi. Keesokkan harinya barulah kami menceritakan kepada kawan-kawan wanita dan selepas bersarapan pagi kami semua terus balik tanpa bertangguh lagi. Kesian Harb, kerana tidak ada sesiapa yang hendak menumpangnya balik kerana takut.

"Hoi! Takkan tak ada orang nak temankan aku ini." katanya geram.

"Tak hendaklah kami naik kereta engkau." kata teman-teman yang lain. "Mana tahu ada pulak yang mengikut balik dalam kereta engkau itu."

Dia teragak-agak juga sebelum memberanikan dirinya untuk memandu pulang seorang diri.

Aku masih tertanya-tanya apakah yang berlaku kepada dirinya. Kami tidak pernah melihatnya semenjak hari itu. Keretanya yang kosong dijumpai terbabas ke tepi jalan, berlanggar dengan sebatang pokok. Kesan darah memenuhi seluruh bahagian dalam keretanya itu dan terdapat juga kesan sesuatu benda yang berat diseret ke dalam belukar. Pihak polis yang menjalankan operasi mengesan dengan menggunakan unit anjing dan dibantu oleh orang asli yang tinggal di situ juga tidak berjaya menjejaknya.

Pihak polis akhirnya memberhentikan usaha mencari setelah bertungkus-lumus selama hampir satu minggu. Harb dianggap mati kerana menurut pakar forsenik polis, mustahil bagi seseorang untuk terselamat setelah kehilangan darah seperti jumlah darah yang didapati di dalam kereta dan kawasan sekitar kejadian itu.

Kejadian itu berlaku beberapa tahun yang lalu tetapi tiba-tiba sahaja aku terkenangkan dirinya. Aku kembali merenung keluar kearak semak. Aku berani bersumpah ada sesuatu bergerak di belakangnya sebentar tadi. Ini bukanlah kali pertama dan setiap kali aku melihat kelibat bayangan lembaga itu, dan setiap kali aku nampak pergerakan itu, ia bergerak semakin menghampiri rumahku.

Aku tertanya-tanya.....


BAGAIMANA RASANYA NANTI APABILA KERONGKONG SESEORANG ITU DIGIGIT PUTUS?

No comments:

Post a Comment